Hari Akhir Ramadhan di Kg. Bersah, Pos Kuala Mu. Sg. Siput, Perak.
Yayasan Al-Khalifah sekali lagi bekerjasama dengan rakan strategik Dakwah Orang Asli Semenanjung, Muhammadiyah International pada kunjungan sambutan 1 Syawal pada tahun ini di Pos Kuala Mu.
Seramai 10 orang sukarelawan dari Yayasan Al-Khalifah dan Muhammadiyah International bergerak ke Pos Kuala Mu pada jam 11 pagi, 18 Ogos 2012 dan sampai ke destinasi Kg. Bersah pada jam 2 petang. Selepas sholat jamak Zohor dan Asar, bermulalah aktiviti penyampaian beras pulut kepada Penghulu Kg Bersah, Pak Hadu untuk dibuat lemang. Persediaan kenduri dibantu oleh orang kampung untuk masakan berbuka puasa dan rendang ayam untuk jamuan raya.
Kemeriahan berbuka puasa untuk terakhir kalinya pada tahun ini, diadakan jamuan berbuka puasa kemudian diikuti 'takbir Raya' secara beramai-ramai yang diketuai oleh Ustaz Bilal dari Muhammadiyah International. Kemudian, Sholat Isyak diimani pula oleh saudara Baharom bin Hadu, bekas pelajar PULDOA, Kok Lanas, Kelantan yang dilatih sebagai Mualim Orang Asli oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).
Program seterusnya adalah jamuan makan malam bersama penduduk kampung dengan hidangan menu istimewa Nasi Arab, yang disediakan oleh sukarelawan Yayasan Al-Khalifah sendiri (terdiri 3 orang pelajar wanita mualaf Orang Asli). Pada malam tersebut juga, diadakan kelas latihan intensif imam dan khatib khutbah hari raya Aidil Fitri untuk Saudara Baharom dan bilal dari pemuda Orang Asli sebagai persediaan untuk Khutbah Raya 1 Syawal.
Sambutan 1 Syawal 1433H.
Kemeriahan beraya di perdalaman belantara sungguh mengujakan, di mana semua penduduk memakai baju baru, yang mana lelaki memakai baju Melayu dan perempuan memakai baju Kurung. Suasananya tiada beza dengan saudara se Islam Melayu di luar sana.
Bemula jam 8.30 pagi, laungan takbir kemenangan secara beramai-ramai di dalam surau buluh Kg. Bersah. Kemudian, Sholat Sunat Aidil Fitri diadakan pada jam 9.00 pagi, diimamkan oleh Saudara Baharom dan seterusnya membacakan teks khutbah. Antara isi terkandung di dalam khutbah tersebut adalah kepentingan umat Islam bersatu dan keperluan ilmu dalam seharian.
Jamuan makan hari raya dihidangkan dengan lemang yang dimasak secara gotong royong oleh orang kampung dan ditambah juga dengan hidangan ketupat palas dan kuih-muih yang dibawa oleh sukarelawan dari luar. Selepas makan, program penyampaian duit raya kepada setiap pengunjung hasil sumbangan zakat dari jemaah luar yang prihatin akan Orang Asli ini .
Program Raya di Kg. Bersah berakhir jam 11.00 pagi dan sukarelawan bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Pos Kuala Mu yang jaraknya lebih kurang setengah kilometer dari situ.
Di pos Kuala Mu, kehadiran kami disambut oleh Penghulu Zainal yang mengetuai aktiviti bergotong royong memasak lemang. Oleh kerana ketika itu lemang belum masak, kami menjamu tetamu dengan nasi Arab bersertakan lauk ayam masak rendang kering beserta kuih raya. Kemudian, sekali lagi sumbangan duit raya diberikan kepada penduduk di situ.
Selepas sholat jamak Zohor dan Asar pada jam 2 petang, maka berakhirlah program sambutan Hari Raya 1 Syawal di perkampungan asli Pos Kuala Mu. Jemaah bergerak pulang daripada perkampungan tersebut menuju semula ke pekan Lasah bagi meneruskan aktiviti beraya di perkampungan masing-masing dan dibekalkan lemang yang baru masak.
Ekspedisi kali ini memberi seribu kenangan manis kepada peserta kerana dapat beraya di kawasan perdalaman belantara. Semoga peserta akan terus istiqamah akan usaha dakwah di perdalaman bagi mendekati masyarakat orang Asli.
Semoga bertemu lagi di Ramadhan tahun depan. Amin.
0 komen:
Post a Comment