PENGUMUMAN PENTING!

Segala maklumat terkini mengenai aktiviti Misi kemanusiaan & dakwah di bawah Unit Program Pembangunan dan Dakwah Orang Asli (PPDOA) Yayasan Al-Khalifah boleh follow page FB : https://www.facebook.com/Yayasan.Al.Khalifah/

Sumbangan anda diperlukan & layak mendapat resit pengecualian cukai
(Rujukan: LHDN.01/35/42/51/179-6.6161) dan disalurkan ke dalam akaun Maybank
(Klik Icon):

AL-KHALIFAH FOUNDATION : 5640 1611 8396
_____________________________________________________________________
Saksikan aktivis Yayasan Al-Khalifah beraksi @ TV3 !
_____________________________________________________________________

15 April 2010

YAYASAN AL-KHALIFAH

Yayasan al Khalifah adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bukan berorientasikan keuntungan (Non Profit Organization) telah didaftarkan di bawah suruhanjaya syarikat sebagai sebuah syarikat ‘Limited by Guarantee’ dengan matlamat seperti berikut :


1. Membantu golongan yang daif dan terpinggir (marginalized)
2. Membantu dalam bidang pembelajaran untuk semua peringkat masyarakat
3. Melaksana dan menggalakkan kerja-kerja keagamaan
4. Membantu individu dan pertubuhan/agensi yang mempunyai matlamat yang sama dengan yayasan

Aktiviti-aktiviti yang telah dan sedang dijalankan :

1. Program kebajikan Orang Asli

Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM (IOA) di Kelantan, Perak, Pahang dan Selangor

1.1 Lawatan ke perkampungan Orang Asli

Lawatan dibuat secara berjadual di kampung-kampung Orang Asli di Kelantan, Perak, Pahang dan Selangor dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti rawatan perubatan, jamuan makan, pemberian pakaian terpakai, pemberian bahan makanan, sukaneka, pertanian, ternakan dan sebagainya.

Mereka juga dibawa keluar untuk lawatan sambil belajar, rawatan lanjutan di hospital dan kursus di Pusat Latihan Orang Asli Kok Lanas. Hampir semua pos dilawati di Kelantan manakala di Perak pos yang dilawati ialah Kuala Mu, Legap, Kerawat, Poi, Kg Yom, dan Ulu Slim. Di Pahang pula pos yang dilawati adalah pos Tasik Chini dan Bera, manakala bagi kawasan Selangor, kampung-kampung yang terlibat ialah di Gombak, Sg. Buloh, Kuang Hulu Selangor dan Hulu Langat.


1.2 Ihya’ Ramadhan dan Qurban

Pada bulan Ramadhan, program Ihya’ Ramadhan diadakan dimana sukarelawan-sukarelawan masuk ke perkampungan Orang Asli untuk berpuasa bersama mereka disamping mengadakan iftar bersama dan sembahyang terawih diikuti dengan rumah terbuka selepas hari raya. Barang-barang makanan seperti pulut lemang, daging/ayam dan sebagainya dibekalkan untuk kampung-kampung tertentu bagi membolehkan masyarakat Orang Asli menyambut hari raya. Pada musim hari raya qurban, sembelihan korban diadakan untuk kampung-kampung tertentu.


1.3 Latihan

Sebuah pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) telah diwujudkan sejak tahun 1995 di perairan KADA KOk Lanas, Kota Bharu untuk melatih orang-orang asli, saudara baru dan remaja dalam bidang keagamaan. Kursus-kursus jangka pendek diadakan dari semasa ke semasa untuk orang-orang Asli yang baru memeluk Islam selama dua minggu dengan matlamat mengenali Islam dan Kursus Kefahaman Islam diadakan setiap tahun untuk tempoh suku tahun. Pelajar-pelajar yang baik akan meneruskan pengajaran di Institut Dakwah Perkim (IDIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Buat masa ini terdapat 15orang pelajar kami yang sedang belajar di IDIP. Ramai pelajar yang telah berjaya menamatkan latihan di PULDOA telah diambil sebagai pembantu Dakwah oleh MAIK untuk bertugas di kampung-kampung Orang Asli. Kursus Motivasi dan kecemerlangan juga diadakan untuk pelajar-pelajar Orang Asli di waktu cuti sekolah.
























1.4 Pembangunan

Sebanyak 22 Dewan-dewan Orang Ramai telah didirikan di tempat-tempat yang diperlukan sebagai Pusat Kegiatan Masyarakat dan tempat untuk penginapan bagi rombongan serta pelawat dari luar, secara gotong-royong dengan menggunakan bahan-bahan tempatan. Paku, atap, zing dan alat-alat pertukangan seperti gergaji, pemukul dan sebagainya dibekalkan oleh pihak kami. Sebuah surau dan dewan batu telah dibina di Kg. Jedip pada tahun 2009.


Sebuah ‘mini hydro’ juga telah dibina di Kg. Tuel, Gua Musang bagi membekal elektrik untuk keperluan kilang memproses ubi dan pisang. Bangunan kilang juga dibina. Walaubagaimanapun, pembalakan yang dijalankan (selepas pembinaan ‘mini hydro’) di kawasan tadahan air untuk ‘mini hydro’ telah menjejaskan perjalanan ‘mini hydro’ tersebut kerana kolam takungan air (weir) sering dipenuhi pasir dan selut. Beberapa perunding ‘mini hydro’ telah pun dijemput untuk memberi nasihat tetapi hingga sekarang belum ada penyelasaian yang konkrit.


Sebuah masjid juga sedang dibina di Kg. Tuel dengan kerjasama Masjid Bangsar, MAIK dan JHAIK.

1.5 Pertanian dan Ternakan

Benih pokok buah-buahan, sayur-sayuran dan getah dibekalkan kepada Orang Asli untuk pertanian mereka. Setakat ini sebanyak 30,000 tunggul anak getah telah dibekalkan kepada Orang Asli di pos Tuel, Kuala Mu, Tohoi, Pasik, dan Simpor.

Ternakan kambing dan ayam diadakan di kampung-kampung yang sesuai. Lima buah kampung telah berjaya mengadakan ternakan kambing sejak lima tahun sudah dan usaha ini telah mendatangkan sedikit sebanyak hasil kepada penduduk.































1.6 Koperasi Belia Islam Kaum Asli Kelantan Berhad (KOBIKA)

Koperasi KUBIKA telah ditubuhkan dan diluluskan pada 28 Januari tahun 2010 dengan matlamat untuk membangunkan orang-orang Asli Islam khususnya di Kelantan. Koperasi ini sedang di dalam proses memohon tanah kerajaan untuk dijadikan ladang.


2. Program Kebajikan Saudara Baru

         Program ini dijalankan di Kelantan dan Kedah dengan kerjasama Malaysian Chinese Muslim Association(MACMA) untuk membela saudara-saudara baru yang terdiri dari pelbagai kaum. Aktiviti aktiviti yang dijalankan termasuk ziarah, kaunseling, kelas Fardhu ‘Ain, bantuan kebendaan, bantuan pendidikan, Sambutan Hari-hari Kebesaran dalam Islam kursus-kursus motivasi dan Qurban.





















3. Program Dakwah di Ranau, Sabah.

Program ini telah dijalankan sejak tahun 2007 di beberapa buah kampung dan aktiviti yang sama untuk Orang Asli dijalankan untuk orang-orang Dusun. Sebuah bangunan telah dibeli sebagai rumah guru untuk Kampung Sumbilingan di mana kelas Fardhu ‘Ain diadakan untuk kanak-kanak dan orang-orang dewasa. Kelas-kelas Fardhu ‘Ain untuk kanak-kanak dan remaja juga diadakan di Kg. Matupang, Tinutuan dan Murongin Dua, Ranau. Anak-anak Yatim dan Miskin serta Muallaf yang dhaif dibawa masuk ke Rumah Putera Harapan Ranau. Remaja-remaja Dusun juga dibawa untuk berkursus di PULDOA dan IDIP, Kelantan.


4. Program Anak Yatim dan Miskin

4.1. Rumah Putera dan Puteri Harapan

Yayasan Al-Khalifah dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan telah mengadakan dua buah rumah anak yatim di Kota Bharu iaitu Rumah Putera Harapan dan Rumah Puteri Harapan di No. 1, Taman Sabariah, Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota Bharu, Kelantan dengan penghuni seramai 130 orang puteri dan 63 orang putera. Kami juga membantu seramai 70 orang anak-anak yatim yang tinggal di rumah masing-masing (home-based).










































4.2. Rumah Putera Harapan Ranau, Sabah

Sebuah bangunan kedai satu tingkat berhampiran dengan Masjid Ranau disewa dan diubahsuai. Seramai 10 orang anak yatim dan miskin lelaki mula diambil pada awal tahun 2007 dan kini rumah ini mempunyai seramai 25 orang penghuni bersama 5 orang kakitangan sepenuh masa. Yayasan Zainuddin turut menyumbang membiayai projek ini pada peringkat awal.

4.3. Rumah Baitul Husna Kuantan, Pahang

Rumah ini di adakan di sebuah bangunan masjid lama yang tidak digunakan lagi iaitu Masjid Kg. Bukit Sekilau, Kuantan. Kerja-kerja pembaikian dan ubahsuai telah dijalankan pada awal tahun 2008, tetapi mula beroperasi hanya pada 1 Mac 2010. Pengambilan pertama adalah seramai 10 orang anak yatim dan miskin perempuan. Kakitangan yang bertugas disini terdiri daripada seorang pengurus dan 2 orang warden.


4.4. Rumah Anak Yatim Ubudiyah, Pendang, Kedah.

Rumah ini diadakan di sebuah bangunan sekolah dua tingkat di Kg. Batu Menunggul, Pendang, Kedah. Bangunan ini telah dibaiki dan diubahsuai dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009 dengan pengambilan seramai 5 orang anak yatim dan miskin lelaki. Pengambilan tidak bertambah kerana masalah kekurangan kakitangan tetapi akan ditambah apabila bersesuaian. Buat masa sekarang hanya seorang warden yang bertugas.

5. Pembangunan Komuniti Rohingya


Terdapat lebih kurang 20,000 orang-orang Rohingya yang berada di Negara kita. Kebanyakannya sebagai pelarian yang berdaftar dengan UNHCR. Walaubagaimanapun, mereka tidak mempunyai kemudahan pendidikan, perubatan dan pekerjaan. Sebahagian besar dari mereka adalah beragama Islam. Al-Khalifah telah menjalankan beberapa program untuk membela masyarakat terpinggir ini.

5.1 Sekolah Komuniti Rohingya

Sekolah ini telah diwujudkan dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA). Sebuah bangunan kedai 4 tingkat disewa di Kg. Cheras Baru (sewaan hanya untuk tingkat 1,2 dan 3 shj) dan telah diubahsuai untuk dijadikan sekolah. Mula beroperasi pada tahun 2007 dengan pelajar seramai 30 orang, kini terdapat 85 orang pelajar untuk kelas darjah 1, 2, dan 3 dan satu kelas untuk peralihan ke sekolah menengah terdiri daripada 15 orang pelajar. Pelajaran diberikan secara percuma, termasuk buku teks, alat tulis dan makan minum memandangkan masyarakat Rohingya terdiri daripada orang-orang tidak berkemampuan.

Seramai 5 orang guru termasuk seorang pengetua bertugas di sekolah ini dengan mengikuti silibus sekolah rendah kerajaan.

5.2 Program ‘Empowerment’ untuk Kaum Ibu Rohingya.

Aktiviti-aktiviti lain secara berkala diadakan untuk masyarakat Rohingya termasuk rawatan perubatan, majlis menyambut hari-hari bersejarah dalam Islam (Hari raya, Maulidurrasul, Maal Hijrah), ceramah-ceramah motivasi dan kursus-kursus kemahiran asas.






















Yayasan Al-Khalifah
adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bukan berorientasikan keuntungan (Non Profit Organization) didaftarkan di bawah suruhanjaya syarikat sebagai sebuah syarikat ‘Limited by Guarantee’, ditubuhkan pada 16 November 2006.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...