Pos Brooke, 10 & 11 Dzulhijjah 1431H: Alhamdulillah, Pada 17 dan 18 November 2010, Yayasan Al-Khalifah telah berjaya buat tahun keduanya menganjurkan program Qurban sempena ‘Eidul Adha 1431H bertempat di Kampung Jerdip, Pos Brooke Kelantan. Pos Brooke mengandungi 18 buah perkampungan Orang Asli dari suku kaum Temiar dengan kepadatan penduduk seramai 2000 orang. Seramai 18 orang sukarelawan Yayasan Khalifah diketuai oleh Pegawai perhubungan orang Asli , En. Shamsulmuddin telah turut serta dalam program kali ini.
“Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Aidil Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).
Pada tahun ini, pihak urusetia berjaya memperoleh 6 ekor lembu untuk dijadikan haiwan korban atas sumbangan daripada beberapa penaja utama iaitu sumbangan daripada peserta Qurban masjid Saidina Umar Al-Khatab Damansara, Hospital Al-Islam dan juga penyumbang-penyumbang persendirian. Manakala, Kampung Jerdip dijadikan pusat penyembelihan dan pembungkusan daging Korban sebelum diedarkan kepada 18 kampung di sekitarnya.
Untuk kesekian kalinya, ini adalah tahun kedua penyembelihan dilakukan di kampung Orang Asli terbabit. Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat memberi pemahaman dan pengetahuan secara tidak langsung kepada saudara Muslim yang baru memeluk Islam malah sebagai pemangkin ke atas usaha-usaha dakwah kepada kelompok yang belum memeluk Islam.
Program bermula dengan aktiviti sembahyang raya Aidiladha bersama penduduk kampung. Khutbah AidilAdha memfokuskan penerangan kepentingan peristiwa ibadah Qurban ini kepada masyarakat Islam umumnya dan signifikan dalam membantu golongan yang dhaif dan lemah khususnya terutamanya masyarakat yang terpinggir (orang asli). Justeru, kelompok ini lah yang seharusnya diberi perhatian ‘hak’nya oleh pihak-pihak tertentu. Atas dasar itu, pihak urusetia terpanggil untuk meneruskan usaha murni ini di perkampungan asli.
Kemudian, program diteruskan dengan sukarelawan lelaki dan penduduk kampung bergotong-royong menyembelih dan melapah lembu qurban manakala sukarelawan wanita menyediakan masakan untuk jamuan. Aktiviti melapah amat meriah dengan turut dihadiri oleh orang asli dari kampung yang berlainan manakala aktiviti memasak diketuai oleh chef selebriti yang turut serta dalam program kali ini iaitu chef Liza. Dengan kehadiran chef jemputan ini, para sukarelawan dan penduduk kampung mendapat input dan ilmu baru akan dunia masakan.
‘Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berqurban untuk Tuhanmu)’(Al-Kausar : 2 )
Pada sebelah petang, seusai selesai proses penyembelihan dan melapah daging Korban, aktiviti pengagihan telah dilakukan dan diketuai oleh saudara Azhar. Kumpulan ini telah mengagih kepada semua 18 kampung di sekitar pos Brooke. Lebih kurang 400 bungkus daging telah berjaya diedarkan kepada masyarakat setempat.
|
senarai nama peserta Qurban 2010 |
|
lembu pertama |
|
lembu kedua |
|
lembu ketiga |
|
lembu keempat |
|
lembu kelima |
|
lembu keenam |
|
sembahyang raya AidilAdha |
|
bersujud kepadaMu Tuhan |
|
melapah di tepi sungai |
|
melapah lembu |
|
sumbangan daging qurban kepada penduduk asli kampung |
|
Bersama penerima daging korban |
|
sukarelawan dan penduduk kampung Pos Brooke |
~~**~~
Damansara, 13 Dzulhijjah 1431H: Pada 20 November 2010, pihak yayasan dijemput untuk menghadiri program Qurban yang dianjurkan oleh masjid Saidina Umar Al-Khatab untuk menerima satu ekor lagi haiwan Korban iaitu seekor lembu. Apa yang menarik kali ini, haiwan korban untuk disumbangkan kepada masyarakat Asli telah dijual dengan menggunakan wang ‘Dinar dan Dirham’ iaitu suatu pengenalan semula kaedah urusan muamalah secara Islam yang telah diamalkan sejak zaman Rasulullah tetapi telah berkubur pada zaman kejatuhan empayar Islam di Turki dahulu. Dengan itu, majlis kali ini sekurang-kurangnya memberi pendedahan kepada orang awam akan kepentingan penggunaan wang dinar dan dirham ini. Majlis ini turut dihadiri oleh TPM, YAB Tan Sri Muhyidin Yassin.
|
majlis disinggahi oleh TPM, YAB Tan Sri Muhyidin Yassin |
|
muamalah binatang Korban dalam mata wang 'dinar dan dirham' |
|
lembu Korban untuk orang asli |
~~**~~
Penutup: Semoga program Qurban 1431H YAK 2010 ini memberikan khair kepada semua dan sekaligus menyemarakkan kepedulian dan keprihatinan sesama insan. Juga jazakumullahu khairan kathiran khusus kepada semua sukarelawan yang terlibat, semoga Allah SWT menerima segala amal dan pengorbanan kita. Amiin Ya Rabb!
2 komen:
bagus...teruskan usaha kalian
terima kasih kepada en faiz dan rakan-rakan kerana sudi membantu..
Post a Comment