Program Konvoi Amal 4x4 Maulidurrasul 1434H ke kawasan perkampungan Orang Asli Gua Musang merupakan program berskala besar melibatkan penyertaan 23 buah kenderaan 4x4 dengan peserta seramai 80 orang dari pelbagai negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur., Kelantan dan Pahang.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (berdakwah / mengembangkan Islam), menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Ali Imran:104)
~Marhalah Dakwah Ini~
23 JANUARI 2013:
Perlepasan semua peserta konvoi dan sukarelawan daripada Kuala Lumpur, Selangor , Pahang, Kelantan bergerak daripada destinasi masing-masing pada waktu malam menuju ke daerah Gua Musang Kelantan.
24 JANUARI 2013:
Selepas subuh, semua peserta telah berkumpul di masjid Gua Musang dan mendengar taklimat yang diberikan oleh Pengarah Program Konvoi Amal 4x4, Saudara Azhar (YAK). Kemudian, pemindahan barang-barang sumbangan serta pembahagian sukarelawan ke setiap kenderaan 4x4. Konvoi bergerak menuju ke Kuala Betis pada waktu tengahari oleh kerana cuaca hujan lebat berterusan dari waktu pagi.
Sampainya di Kuala Betis, maka bermulanya perjalanan tanpa jalan raya atau dikenali sebagai ‘offroad’. Sepanjang perjalanan, konvoi telah singgah di beberapa buah perkampungan orang Asli seperti Kg Galang, Kg Gertas,Kg Tampuk dan Kg Enching ,Pos Hau bagi menyerahkan sumbangan istimewa iaitu ‘kek pisang’ yang dibawa sebanyak 1000 unit hasil tajaan Telekung Project untuk diberikan kepada keluarga Orang Asli. Pada masa ini keadaan jalan hutan masih elok dan lancar.
Setibanya konvoi menghampiri Kg Tapai Pos Hau, keadaan jalan menjadi sangat sukar dengan selut dan lumpur yang dalam beserta bukit yang licin menyukarkan perjalanan. Pelbagai cara telah dilakukan dan mengambil masa beberapa jam, namun akhirnya beberapa kenderaan telah mengalami kerosakan teknikal. Ditambahkan dengan hujan lebat di waktu petang hingga ke malam menyebabkan usaha meneruskan perjalanan diberhentikan dan penganjur mengambil keputusan untuk berehat dan tidur di pertengahan jalan di kawasan pertempatan sementara. Ketika ini, 2 kumpulan utama telah terpisah iaitu satu kumpulan di Kg Tapai dan satu kumpulan lagi di kawasan bukit merah.
25 JANUARI 2013:
Seawal pagi, kumpulan kedua yang berada di bukit merah memberikan signal untuk berpatah balik kerana keadaan jalan sudah terlalu teruk di hadapan dan mustahil untuk peserta konvoi melepasi halangan tersebut pada masa itu. Maka , atas perbincangan jawatankuasa program, semua kenderaan berpatah balik dan merancang satu laluan baru iaitu ke kawasan Pos Tohoi.
Lalu, konvoi telah berhenti untuk berehat bagi persediaan makanan ketika berada di sungai kg Enching, Pos Hau kerana hari sudah lewat petang. Di sini lah penganjur telah membuka satu ‘campsite’ di tepi sungai di mana untuk memberi ruang peserta merehatkan diri setelah 2 hari tidur dalam keadaan tidak selesa dan di pertengahan belantara. Dan buat kedua-dua hari ,aktiviti yang dirancang tidak dapat dilaksanakan kerana masa telah dihabiskan sepanjang perjalanan sahaja.
26 JANUARI 2013:
Selepas sarapan, aktiviti diteruskan dengan pemeriksaan kesihatan dari Hospital USM kepada penduduk Orang Asli Kg Enching. Kemudian, penduduk beramai-ramai datang ke ‘campsite’ di tepi Sg Enching untuk beramah mesra dengan artis yang dibawa, Abang Mael dan Amy dari kumpulan XPDC.
Di sini juga , tim perubatan dari USM telah berpisah dengan penyertaan konvoi kerana mereka ada urusan lain dan tidak dapat meneruskan perjalanan. Maka, yang selebihnya meneruskan perjalanan menuju ke Pos Tohoi dan sampai agak lewat petang.
Pada waktu malam diadakan Malam Persembahan Hiburan Alternatif Islam di Dewan Pos Tohoi di mana beberapa persembahan menarik telah disampaikan oleh Kumpulan Nashid dari Darul Quran, persembahan band Pos Tohoi dan persembahan kemuncak oleh artis yang dibawa XPDC. Sambutan daripada penduduk kampung juga amat hebat dan menggalakkan .
27 JANUARI 2013:
Di awal pagi, ziarah mahabbah telah dilakukan bersama penduduk kampung dengan memberikan sumbangan tajaan dari PERKIM. Kemudian, jamuan kenduri ‘Cak Raya’ disediakan kepada penduduk. Akhirnya, konvoi keluar dari kampung tersebut selepas majlis perpisahan.
Alhamdulillah, cabaran kali ini amat hebat namun sokongan padu daripada peserta dan sukarelawan konvoi, program berjaya disempurnakan sehingga ke akhirnya.
Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Gambar penuh boleh diperolehi di sini:
Konvoi Amal 4x4 Maulidurrasul- Album 1
Konvoi Amal 4x4 Maulidurrasul- Album 2
Konvoi Amal 4x4 Maulidurrasul- Album 3
0 komen:
Post a Comment