PENGUMUMAN PENTING!

Segala maklumat terkini mengenai aktiviti misi kemanusiaan & dakwah Yayasan Al-Khalifah boleh follow page FB : https://www.facebook.com/Yayasan.Al.Khalifah/

Sumbangan anda diperlukan & layak mendapat pengecualian cukai (Rujukan: LHDN.01/35/42/51/179-6.6161 ) dan disalurkan ke dalam akaun

Al-Khalifah Foundation : 564016118396
_____________________________________________________________________

21 February 2011

BENGKEL SUKARELAWAN DAKWAH ORANG ASLI 2011 DI UIAM, GOMBAK

LAPORAN
PROGRAM ‘BENGKEL SUKARELAWAN DAKWAH ORANG ASLI’
ANJURAN YAYASAN AL-KHALIFAH

TARIKH: 15 FEBRUARI 2011
TEMPAT: HS LT1 UIAM GOMBAK, SELANGOR
MASA: 9.00 PAGI – 6.30 PETANG
Pada Selasa, 15 Februari 2011, Yayasan Al-Khalifah telah berjaya menganjurkan ‘Bengkel Sukarelawan Dakwah Orang Asli’ bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak Selangor sempena sambutan Maulidurrasul. Bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan di mana berjaya mengumpulkan seramai 42 orang peserta terdiri daripada pelbagai organisasi dan badan dakwah orang asli seluruh Malaysia.
Institusi/ badan /Organisasi yang terlibat adalah:
i.       Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
ii.       JASA
iii.      COMRADE
iv.      Titian Asli
v.       Muhammadiyah International
vi.       IOA
vii.      MRA
viii.      ABIM Johor
ix.       Kolej Darul Hikmah
x.        Darul Quran
xi.        ADNI
xii.       Geng Belantara
xiii.       International Islamic College
Tujuan penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan dan penerangan yang lebih jelas kepada para sukarelawan dakwah orang asli berkenaan metod yang sesuai digunakan untuk berdakwah dan turun kelapangan masyarakat terutamanya kepada masyarakat orang asli. Justeru, penganjur telah menyediakan beberapa slot khas untuk para peserta dan kebanyakkan slot yang disediakan adalah berbentuk motivasi dan santai. Ianya memberi kemudahan kepada para peserta untuk berinteraksi dengan penceramah-penceramah jemputan.

Slot 1: Pengenalan Yayasan Al-Khalifah
Permulaan bengkel dirasmikan oleh En. Shamsulmuddin bin Ahmad Shah selaku Pegawai Perhubungan Orang Asli Yayasan al-Khalifah. Beliau mengalu-alukan kedatangan para peserta yang hadir yang terdiri daripada pelbagai kelab dan organisasi . Kemudian, beliau meneruskan ucapan dengan memberi penerangan berkenaan organisasi Yayasan al-Khalifah sebagai satu badan yang bergiat aktif dalam program pembangunan minda dan dakwah Orang Asli terutama di kawasan pedalaman semenanjung Malaysia.
Lawatan dibuat secara berjadual dan berkala di kampung-kampung pedalaman Orang Asli di Kelantan, Perak, Pahang, Kedah dan Selangor dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti  pengislaman, kursus-kursus agama, rawatan perubatan, baktisiswa, sambutan hari kebesaran Islam, jamuan makan, pemberian pakaian terpakai, sumbangan barang keperluan dan material, sukaneka, pertanian, ternakan dan sebagainya.
Beliau berharap kepada para hadirin yang mengikuti program ini agar terus bergiat dan istiqamah dalam kerja dakwah terutamanya kepada masyarakat Orang Asli kerana tugas berdakwah merupakan satu kewajipan kepada setiap individu bukan terletak pada badan-badan agama sahaja. Malah tidak semua orang mampu mengorbankan wang, masa  dan tenaga untuk berdakwah kepada masyarakat orang asli di pedalaman hutan Malaysia yang pasti memerlukan ketahanan mental, emosi dan rohani  kerana risikonya amat besar dan  tidak dapat diduga .  Justeru, dengan moto “ Jangan Ghairah dan Jangan Mengalah” menjadikan Yayasan Al-Khalifah masih kekal sebagai badan yang aktif berdakwah kepada masyarakat asli sehingga kini dan terus berbakti walaupun diuji dalam pelbagai masalah dalam pelbagai  situasi dan cabaran.

Slot 2: “ Orientasi Sukarelawan dan Penggerak (Aktivis)”
Slot kedua telah disampaikan dan dikupas lebih lanjut oleh Saudara Rezaidi Ishak yang merupakan pegawai dari Institut Integriti Malaysia dan juga exco Malaysian Relief Agency. Kepelbagaian pengalamannya selama menjadi aktivis beberapa badan NGO sebelum ini dalam program-program kebajikan dan  misi-misi bantuan di dalam dan di luar negara memberikan pendedahan kepada peserta bahawa menjadi sukarelawan dan aktivis perlu berjiwa ‘besar’. Apa yang penting perlu ada modus operandi dan perancangan disamping persediaan awal sebelum bergelar sukarelawan. Persediaan awal yang perlu bukan saja berbentuk material malah perlukan persediaan dari segi spiritual. Spiritual ini termasuklah ketahanan diri dan mental. Ketahanan diri perlu dibina dan kekuatan mental perlu dijana agar program yang dirancang dan misi yang dibawa akan berjaya terlaksana.
Misalnya, dalam memberi bantuan kemanusiaan, keselamatan diri merupakan elemen yang penting yang mesti ditekankan terutamanya dalam diri sukarelawan dan juga golongan sasaran supaya kedua-dua mendapat manfaat. Jika perkara ini diabai, menyukarkan gerak kerja bantuan kemanusiaan dan boleh mendatangkan kemalangan yang tidak diduga. Selain itu, sukarelawan perlu bijak  menyesuaikan diri mengikut kondisi dan keadaan. Jika berada pada situasi kritikal , sukarelawan perlu membuat keputusan yang tepat dan tidak terburu-buru di mana perlu mengkaji kesan jangka pendek dan panjang. Ini elemen yang penting kerana aktivis dan sukarelawan selalunya berhadapan dengan situasi yang tidak pasti.
 Untuk menjadi seorang sukarelawan, dua elemen yang sangat penting yang mesti ada iaitu ‘suka’ dan ‘rela’. Ini membawa maksud, untuk turun kelapangan kerja sukarelawan seseorang itu perlulah ‘suka’ iaitu minat . Dalam masa yang sama, individu tersebut perlulah ‘rela’ iaitu atas kemahuan sendiri bukan disebabkan pengaruh kawan, bayaran, kedudukan dan sebagainya. Apa yang sering terjadi kepada anak-anak muda ketika ini yang baru-baru berjinak dengan kerja sukarelawan, mereka kurang salah satu elemen tersebut. Selalunya mereka terbabit kerana ‘suka-suka’ bukannya ‘suka’. Dan kebanyakkan  kurang elemen ’rela’ dalam jiwa mereka. Sebab itu kebanyakan hilang selepas terbabit dua atau tiga program sukarelawan. Hanya beberapa sahaja yang mampu menerapkan  elemen ‘rela’ dalam program sukarelawan. 
Perlu diingatkan kerja sukarelawan ini bukanlah suatu bidang yang menjanjikan ‘kemanisan’ dan kejayaan.  Semestinya pelbagai ujian dan cabaran yang akan dilalui. Namun dengan kekuatan yang ada dari segi fizikal, mental dan rohani ia akan memberikan keberhasilan yang baik. 

Slot 3: “Jatidiri Penggerak (Aktivis) Dalam Persekitaran Semasa”
Slot ketiga disampaikan oleh Mejar [B] Darwish Muhammad yang merupakan Pengarah Urusan DJ Learning & Services berkenaan ‘Jatidiri Penggerak (Aktivis) Dalam Persekitaran Semasa’. Permulaan slot, penceramah berkongsi pengalaman hidupnya sebagai seorang bekas tentera dan aktivis. Antaranya, pengalaman beliau semasa turut serta terbabit memberikan bantuan ketenteraan dan kebajikan terutamanya di luar negara seperti China, Gaza dan banyak lagi.
Untuk slot beliau kali ini, ia dikendalikan secara santai di mana lebih memfokuskan komunikasi dua hala antara beliau dan peserta. Penggunaan ‘physicological game’ dengan memberikan beberapa ujian psikologi telah membantu peserta mengenali diri sendiri, kecenderungan dan minat mereka akan dunia sukarelawan. Jatidiri peserta boleh dilihat melalui hasil ujian yang dilakukan. Ternyata peserta-peserta bengkel ini mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menjadi sukarelawan.
Penceramah turut memfokuskan ‘kerja dalam kumpulan’. Sebagai sukarelawan, pengurusan dalam kumpulan amatlah penting. Sukarelawan tidak boleh bergerak secara sendirian dan perlu secara berkumpulan supaya menjadi organisasi yang kuat. Dalam Islam sendiri lebih menekankan prinsip ‘jemaah’ bukan sahaja dalam solat malah dalam membuat keputusan dan pergaulan seharian. Justeru sukarelawan dakwah perlu bersama agar kekuatan ‘jemaah’ itu digeruni oleh musuh Islam. 
Perbagai analogi yang diberikan oleh penceramah bagi tujuan memberi kefahaman yang mudah kepada para peserta. Kepakaran yang dimiliki dalam bidang komunikasi mengukuhkan lagi kedudukan penceramah dan ianya memberi suasana yang berbeza kepada para peserta.

Slot 4: LDK “Telur Retak Seribu”
Slot ini dikendali oleh Sdr Azhar Mohamed, aktivis Yayasan Al-Khalifah. Slot kali ini berbentuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK) di mana peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan. Dengan bertemakan “Telur Retak Seribu” setiap kumpulan dibekalkan dengan beberapa jenis barang modul seperti straw, pisau lipat, selotip dan sebiji telur. Peraturan permainan ini ialah setiap kumpulan diminta untuk mereka dan mencipta bungkusan telur itu bagi memastikan jika dijatuhkan dari tempat tinggi telur tersebut tidak retak dan pecah. Masa diberikan kepada setiap kumpulan adalah selama 20 minit. Dan kemudian telur itu akan dijatuhkan dari tingkat 2 bangunan (lebih kurang 10 meter) oleh wakil setiap kumpulan. Daripada 5 kumpulan yang bertanding, hanya satu kumpulan sahaja yang berjaya mereka bungkusan telur tersebut tanpa pecah apabila dijatuhkan dari tingkat 2.
            Slot  ini bertujuan untuk membina semangat berpasukan dalam kumpulan di samping mengeratkan silaturrahim antara peserta. Yang kedua adalah mahu melihat strategi kumpulan dalam melakukan tugasan. Seharusnya, setiap kumpulan perlu merangka strategi dengan melihat daripada pelbagai aspek. Untuk tugasan ini, peserta diberitahu oleh Sdr Azhar, kita perlu melihat ia dari konsep ‘kejadian alam’. Maksud beliau adalah melihat bagaimana durian gugur tanpa retak dan konsep ‘durian’ tersebut boleh diaplikasikan dalam mereka bungkusan telur tersebut. Sesungguhnya, begitu hebatnya ciptaan Allah kerana setiap kejadian ada aturannya semoga manusia terus berfikir.
            Yang ketiga, adalah melihat objek ‘telur’ itu sebagai satu pendekatan ‘dakwah’. Analoginya jika kita memecahkan telur tersebut dengan perlahan dan lembut, kita akan dapati ‘telur mata lembu’ iaitu bermaksud hasilnya elok dan baik .Tetapi, jika kita  pecahkannya secara kasar maka hasilnya ‘telur hancur’ iaitu tidak berapa elok. Begitu juga perbandingan ia dengan pendekatan dakwah. Jika kita berdakwah secara lemah lembut dan berhemah kita akan mudah mempengaruhi seseorang untuk cenderung kepada Islam. Dan janganlah berdakwah secara paksaan atau melulu yang pasti bukan sahaja kita tidak dapat mempengaruhi mereka malah mendapat tentangan daripada mereka.
Di sepanjang sejarah Islam, tidak pernah wujud sebarang paksaan dalam penyebaran dakwahnya. Islam telah berkembang dengan dakwah secara lemah lembut dan berhikmah. Tidak ada dalam catatan sejarah seseorang dibunuh kerana keengganannya menganut Islam, bahkan Islam tidak membenarkan unsur paksaan dalam ajarannya.           
Begitu juga dalam metod dakwah kepada Orang Asli. Yayasan Al-khalifah lebih menekankan ‘dakwah bil Hal’ kepada da’ie-da’ie dan aktivis nya kerana itulah cara terbaik untuk berdakwah dan mendekati golongan sasaran ini. Justeru, kebanyakkan aktiviti yayasan cenderung mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim bersama masyarakat asli disamping menonjolkan keperibadian dan akhlak yang baik sebagai seorang penganut Islam supaya mereka dapat menerima dan melihat keindahan Islam. Alhamdulillah, hasilnya terbukit setelah beribu orang Asli terima Islam  sebagai agama sebenar melalui dakwah berkala daripada para da’ie  .

Slot 5: Pergulungan Resolusi oleh Pemegang Amanah Yayasan Al-Khalifah
Resolusi digulung oleh Dato’ Dr. Hj Abdul Razak bin Hj. Kechik iaitu Pemegang Amanah Yayasan Al-Khalifah dan juga Presiden Malaysian Relief Agency. Beliau berkongsi beberapa pengalaman dengan peserta bengkel berkenaan siri-siri dakwah yang pernah dilalui oleh beliau di dalam dan luar negara. Sebagai mantan doktor perubatan, beliau telah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia selama 28 tahun dan memegang berbagai jawatan penting, antaranya ialah Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Pengarah Hospital Kota Bharu Kelantan, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Pengarah Hospital Alor Setar, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak.
Selepas bersara dari perkhidmatan awam, beliau telah dilantik menjadi ketua penilai untuk program akreditasi hospital di bawah pertubuhan Malaysia Society for Quality in Health dimana beliau bertanggungjawab mengeluarkan sijil akreditasi kepada semua hospital di Malaysia untuk mempastikan mutu pengurusan dan perkhidmatan hospital di Malaysia berada ditahap yang terbaik.
Dato’ Dr. Hj Abdul Razak bergiat aktif dalam kerja-kerja kebajikan, dakwah dan kesukarelawanan.  Beliau bergiat dalam program kebajikan dan dakwah Orang Asli Malaysia sejak 1980. Bermula di Kelantan dan sekarang berkembang ke Perak, Pahang, Kedah dan Selangor. Malah beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Orang Asli Malaysia (2005 sehingga sekarang). Disebabkan ketokohan beliau dalam kerja sukarelawan dan dakwah, beliau menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2010.
            Dato’ Dr. Hj Abdul Razak mengajak peserta mengambil iktibar daripada sepotong ayat Allah dari surah an Nahl ayat 125, "Dan Serulah ke Jalan Tuhanmu dengan Hikmah". Hikmah itu mencakupi banyak segi, bukan sahaja daripada perbuatan dan pertuturan yang baik dan bijaksana kepada orang yang nak didakwah tetapi juga perancangan yang berkesan dan tersusun secara jangka pendek dan jangka panjang. Hikmah itu hendaklah menyeluruh untuk memastikan gerak kerja dakwah Islamiyah tersusun dan terus maju mengajak manusia ke jalan kebenaran.
            Beliau menyatakan tidak mustahil untuk mengajak orang yang bukan Islam untuk memeluk Islam terutama Orang Asli jika pendekatan dan metod kita secara berhemah. Beliau menyatakan 7 sebab mengapa Orang Asli perlu masuk Islam iaitu:
1. Islam agama rasmi Malaysia
2. Raja dan pemimpin negara beragama Islam
3. Bantuan badan kerajaan dan swasta
4. Wadah penyatuan 18 suku kaum
5. Menjadi bangsa yang kuat
6. Memupuk kemesraan dan semangat berintegrasi
7. Islam Agama yang Syumul
Yang pertama, Islam adalah agama rasmi Malaysia. Jadi kerajaan Malaysia memperuntukan keistimewaan kepada agama Islam untuk diamalkan dan dikembangkan dalam negara ini di mana perutukan dana untuk perkembangan Islam mendapat bantuan terus daripada kerajaan persekutuan dan pada masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan.
Yang kedua, Raja dan Pemimpin utama negara kita majoriti beragama Islam. Kelebihan itu menjadikan pemimpin Islam kita dihormati dan disanjung oleh semua rakyat jelata. Yang ketiga, masyarakat Islam di negara ini mendapat banyak bantuan daripada badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang sudi menghulurkan bantuan malah agensi agama memperuntukan beberapa bantuan kepada orang asli yang baru memeluk Islam dan ianya berterusan.
Yang keempat dan kelima, Islam sebagai agama penyatuan. Ia menjadi wadah penyatuan 18 suku kaum asli di Malaysia. Berdasarkan cara hidup dan pegangan 18 suku kaum orang asli, tiada cara untuk menyatukan mereka kecuali dengan agama. Islam menjadi platfom terbaik untuk menyatukan mereka sebagaimana Islam menyatukan semua bangsa di dunia atas kesamaan tauhid dan akidah. Dengan itu, apabila bersama masyarakat Melayu yang sudah sedia beragama Islam, menjadikan bumiputera sebagai bangsa yang kuat dan disegani oleh bangsa lain.
            Yang keenam, orang asli amat rapat dengan orang Melayu disebabkan kesamaan antara mereka. Jadi apabila bersama atas kesamaan agama ia menerbitkan kemesraan sekaligus hidup berintegrasi dapat diamalkan justeru semangat tolong menolong dan  bekerjasama antara kaum dapat dipupuk.
            Sebab yang ketujuh adalah kelebihan agama Islam itu sendiri dimana Islam adalah agama yang baik dan Syumul (menyeluruh). Islam merangkumi semua aspek kehidupan berkaitan dunia dan akhirat. Justeru, kebenaran Islam tidak boleh disangkal lagi. Bagaimanapun, perlu kita ingat yang Islam ini berkembang atas dasar kefahaman dan kesedaran. Apabila manusia sedar maka ia akan menghayati Islam sepenuhnya.
Perkongsian kisah Dato’ Dr. Hj Abdul Razak yang lebih 30 tahun berpengalaman  berdakwah kepada masyarakat asli memberikan motivasi dan kesedaran kepada peserta. Penerangan yang ringkas tetapi padat  menjadi contoh dan panduan  kepada para sukarelawan untuk terus membina kekuatan untuk berdakwah kepada masyarakat asli. Kekuatan pendakwah bukan hanya pada kata-kata (syarahan), tetapi pada kebijaksanaan dalam mengaplikasi serta melaksanakan dakwah secara berhemah.

Kesimpulan:
“Bengkel Sukarelawan Dakwah Orang Asli 2011” diharapkan menjadi platfom terbaik untuk mewujudkan kerjasama antara badan dan organisasi dakwah orang asli yang hadir. Keperluan ini penting kerana golongan bukan Islam terutama kristian semakin ligat merancang strategi untuk menawan orang Asli dan kita yang mempunyai kesedaran yang tinggi ini perlu berusaha menyekat dan terus memartabatkan agama Islam kepada Orang Asli kerana kitalah yang dipilih oleh Allah untuk membawa mereka ke jalan yang lurus. InsyaAllah.

TENTATIF BENGKEL SUKARELAWAN DAKWAH ORANG ASLI YAK


09.30 pagi   : Pendaftaran peserta dan makan pagi
10.15 pagi   : Persembahan video YAK
10.30 pagi   : Slot 1: Pengenalan Yayasan Al-Khalifah
                     Oleh: En Shamsulmuddin B Ahmad Shah (Pegawai Perhubungan Orang    
                     Asli  YAK)
11.00 pagi   : Slot 2: Orientasi Sukarelawan dan Penggerak
                     Oleh: Saudara Rezaidi Ishak, IIM & MRA
12.00 tghari : Slot 3: Jatidiri Penggerak (Aktivis) Dalam Persekitaran Semasa-Siri 1
                     Oleh: Mejar (B) Darwish Muhammad, DJ Learning & Services
01.30 tghari : Makan tengahari + Solat Zohor
02.30 ptg     : Slot 3: Jatidiri Penggerak (Aktivis) Dalam Persekitaran Semasa-Siri 2
                     Oleh: Mejar (B) Darwish Muhammad, DJ Learning & Services
03.15 ptg     : Slot 4: “LDK:Telur Retak Seribu”
                      Oleh : Sdr Azhar Mohamed, Yayasan Al-Khalifah
04.30 ptg     : Slot 5: Pergulungan Resolusi oleh Pemegang Amanah YAK- Siri 1
                      Oleh: Dato’ Dr. Hj. Abdul Razak bin Hj. Kechik, Yayasan Al-Khalifah
05.00 ptg     : Solat Asar berjemaah di masjid UIAM
05.30 ptg     : Slot 5: Pergulungan Resolusi oleh Pemegang Amanah YAK-Siri 2
                      Oleh: Dato’ Dr. Hj. Abdul Razak bin Hj. Kechik, Yayasan Al-Khalifah
06.30 ptg     : Barbeku
07.30 mlm   : Bersurai

Para Penceramah Bengkel Sukarelawan Dakwah Orang Asli 2011
anjuran Yayasan Al-khalifah
Slot Sdr Rezaidi Bin Ishak :“ Orientasi Sukarelawan dan Penggerak (Aktivis)”
Slot Mejar [B] Darwish Muhammad : “Jatidiri Penggerak (Aktivis) Dalam Persekitaran Semasa”
Slot Dato’ Dr. Hj Abdul Razak bin Hj. Kechik : "Pergulungan Resolusi Bengkel Dakwah"
Slot Sdr Azhar Mohamed : "LDK: Telur retak Seribu"

2 komen:

NIZA.Ati said...

Tahniah kepada penganjur & peserta.
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung." [QS.3.Ali Imran :104]

Yayasan Al-Khalifah said...

TERIMA KASIH KEPADA PESERTAS YANG MEMBERI KOMITMEN SEMASA PROGRAM..SEMOGA USAHA INI DAPAT DITERUSKAN UNTUK MASA-MASA MENDATANG..

Post a Comment

Yayasan Al-Khalifah
adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bukan berorientasikan keuntungan (Non Profit Organization) didaftarkan di bawah suruhanjaya syarikat sebagai sebuah syarikat ‘Limited by Guarantee’, ditubuhkan pada 16 November 2006.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...